Sunday, December 2, 2018

         Assalamualaikum w.b.t. Semoga kita tidak lupa untuk mengucapkan syukur kehadrat Allah S.W.T. dan sentiasa membasahi kalam dengan selawat ke atas baginda Rasulullah S.A.W. Kita sebagai hamba Allah perlulah sentiasa bersyukur dan menyedari bahawa apa yang kita miliki tidak lain tidak bukan  hanyalah milik mutlak Allah S.W.T. Walau sekuat mana kita berusaha, rezeki itu hanya akan datang dengan izin Allah S.W.T. Hari ini kami akan berkongsi sebuah kisah mengenai karamah Sayyidah Nafisah yang membuktikan salah satu kekuasaan mutlak milik Allah berkaitan takdir-Nya ke atas hamba-Nya. Oleh itu, mari kita selami kisah ini. Semoga dengannya terselit hikmah dan hidayah ke atas kita. Amiin... 

Karamah Sayyidah Nafisah

        Sayyidah Nafisah dilahirkan dalam tahun 145 Hijrah di Makkah. Beliau merupakan seorang tokoh Ahlul-Bait wanita yang tekun beribadah dan berhikmah dalam dakwahnya. Di Mesir, beliau duduk berjiran dengan satu keluarga Yahudi yang mempunyai seorang anak perempuan yang lumpuh seluruh anggota. Anak kecil itu amat rapat dengan Sayyidah Nafisah dan sering tinggal di rumahnya. Sebagai seorang Islam yang sentiasa berhikmah, beliau tidak menjadikan jiran Yahudinya itu sebagai penghalang untuk mengeratkan hubungan sesama jiran. Malah, beliau melayan anak jirannya yang lumpuh itu dengan layanan yang cukup baik meskipun anak itu masih kecil. Pada suatu hari, dengan kuasa Allah S.W.T. sewaktu Sayyidah Nafisah mengambil wudhuk, limpahan air wudhuknya itu mengalir membasahi badan anak kecil yang lumpuh itu. Lantas lumpuhnya itu terus pulih dan dia boleh bangun serta berlari lari. Kejadian ini mendatangkan kegembiraan yang teramat sangat di dalam hati ibu bapa anak kecil itu. Dengan penuh keyakinan akhirnya mereka sekeluarga memeluk Islam.

       Kisah ini jelas mengajar kita bahawa tiada halangan untuk berdakwah. Meskipun Sayyidah Nafisah seorang wanita, beliau berdakwah mengikut kesesuaian. Seterusnya, kelebihan sifat rendah diri. Meskipun Sayyidah Nafisah adalah keturunan Rasulullah S.A.W. dan disegani oleh seluruh masyarakat Mesir ketika itu termasuk Imam Syafie sendiri. Beliau tidak meninggi diri dan memberi layanan yang cukup istimewa walaupun sekadar kepada seorang anak kecil yang lumpuh dan berbangsa Yahudi. Kerana hikmah yang ditonjolkan itulah, Islam tersebar luas di zamannya.
Assalamualaikum w.b.t ... Hari ini kami berkongsi sebuah cerita mengenai kelebihan bersyukur. Apakah itu bersyukur? Bagaimanakah kita hendak bersyukur? Sifat bersyukur boleh difahami dalam kalangan masyarakat dengan erti berasa cukup dan sentiasa menghargai pemberian daripada insan ataupun yang Maha Esa.Sifat ini seharusnya sentiasa diaplikasi dan diamalkan oleh setiap individu khusunya para Muslimin kerana sifat ini amat dituntut dalam Islam. Oleh itu, marilah kita selami sebuah kisah yang mengandungi ibrah bersyukur terhadap nikmat yang dikurniakan oleh Allah yang Maha Pemurah.

Kisah Pekerja Kebun Dengan Seekor Anjing.

Dalam sebuah perjalanan, Abdullah bin Jaafar singgah di sebuah kebun kurma. Beliau terlihat seorang pekerja kebun tersebut. Pekerja itu adalah seorang hamba kulit hitam. Pada waktu rehatnya, datang seseorang memberikan hamba itu tiga keping roti. Tiba-tiba datang seekor anjing menghampirinya. Hamba tadi mengambil sekeping roti lalu diberikan kepada anjing tadi. Anjing tadi memakannya. Lalu hamba tadi memberikan sekeping lagi, dimakan anjing itu juga. Anjing tadi belum beredar, lalu diberikannya lagi roti yang lagi sekeping itu  kepada anjing tersebut dan anjing tadi memakannya. Abdullah bin Jaafar terkejut dengan apa yang dilihatnya lalu bertanya kepada lelaki itu, " Berapakah pendapatan kamu?" "Pendapatan saya adalah tiga keping roti sepertimana yang tuan lihat tadi. " Jawab hamba itu. "Jadi mengapa kamu berikan semuanya kepada anjing itu? "Soal Abdullah lagi.


    "Selalunya anjing itu tidak pernah ke sini sebelum ini, anjing itu mesti datang dari jauh, saya tidak boleh biarkan ia pergi dari sini dalam keadaan lapar. " Balas hamba itu. Abdullah bin Jaafar semakin kagum dan bertanya lagi, " Tetapi, apa yang kamu akan makan harini? " Hamba itu menjawab, " Saya akan sabar, saya sudah tukarkan pendapatan saya hari ini dengan memberi makan kepada makhluk Allah yang lapar. " Abdullah bin Jaafar terpaku mendengar kata-kata hamba itu dan berkata, " Subhana Allah! Masyarakat mengatakan saya ini pemurah, tetapi lelaki ini jauh lebih pemurah berbanding saya!" Lantaran itu, beliau membeli kebun berkenaan dan disedekahkan kepada hamba lelaki tadi, kemudian memerdekakannya.

 
    Dari kisah yang diceritakan di dalam kimya'i- Sa'adah oleh Imam Ghazali ini, memberi jawapan yang jelas kepada kita tentang sifat orang yang sentiasa reda dengan takdir Allah SWT dan menumpahkan sepenuh tawakalnya hanya kepada Allah SWT. Bayangkan kita yang berada ditempat hamba itu tadi, Pendapatan kita hanyalah tiga keping roti. Setelah penat seharian bekerja di tengah terik mentari, tiba-tiba datang seekor anjing yang sudah berjalan jauh dan dalam keadaan tidak bersih dan tidak bermaya. Pasti kita akan menghalau anjing itu sekerasnya dengan apa sahaja benda yang ada di sekitar kita bukan? Kerana pertamanya kita lapar dan letih. Keduanya anjing itu kita anggap sebagai hina. Tetapi tidak bagi lelaki itu, dia reda dengan apa yang sudah tesurat untuknya pada hari tersebut kerana redanya dia kepada takdir Allah SWT, manusia (Abdullah bin Jaafar) menjadi reda kepadanya tersebut. Itulah anugerah kepada sesiapa yang sering reda terhadap takdir Allah SWT.