Assalamualaikum w.b.t ... Hari ini kami berkongsi sebuah cerita mengenai kelebihan bersyukur. Apakah itu bersyukur? Bagaimanakah kita hendak bersyukur? Sifat bersyukur boleh difahami dalam kalangan masyarakat dengan erti berasa cukup dan sentiasa menghargai pemberian daripada insan ataupun yang Maha Esa.Sifat ini seharusnya sentiasa diaplikasi dan diamalkan oleh setiap individu khusunya para Muslimin kerana sifat ini amat dituntut dalam Islam. Oleh itu, marilah kita selami sebuah kisah yang mengandungi ibrah bersyukur terhadap nikmat yang dikurniakan oleh Allah yang Maha Pemurah.
Kisah Pekerja Kebun Dengan Seekor Anjing.
Dalam sebuah perjalanan, Abdullah bin Jaafar singgah di sebuah kebun kurma. Beliau terlihat seorang pekerja kebun tersebut. Pekerja itu adalah seorang hamba kulit hitam. Pada waktu rehatnya, datang seseorang memberikan hamba itu tiga keping roti. Tiba-tiba datang seekor anjing menghampirinya. Hamba tadi mengambil sekeping roti lalu diberikan kepada anjing tadi. Anjing tadi memakannya. Lalu hamba tadi memberikan sekeping lagi, dimakan anjing itu juga. Anjing tadi belum beredar, lalu diberikannya lagi roti yang lagi sekeping itu kepada anjing tersebut dan anjing tadi memakannya. Abdullah bin Jaafar terkejut dengan apa yang dilihatnya lalu bertanya kepada lelaki itu, " Berapakah pendapatan kamu?" "Pendapatan saya adalah tiga keping roti sepertimana yang tuan lihat tadi. " Jawab hamba itu. "Jadi mengapa kamu berikan semuanya kepada anjing itu? "Soal Abdullah lagi.
"Selalunya anjing itu tidak pernah ke sini sebelum ini, anjing itu mesti datang dari jauh, saya tidak boleh biarkan ia pergi dari sini dalam keadaan lapar. " Balas hamba itu. Abdullah bin Jaafar semakin kagum dan bertanya lagi, " Tetapi, apa yang kamu akan makan harini? " Hamba itu menjawab, " Saya akan sabar, saya sudah tukarkan pendapatan saya hari ini dengan memberi makan kepada makhluk Allah yang lapar. " Abdullah bin Jaafar terpaku mendengar kata-kata hamba itu dan berkata, " Subhana Allah! Masyarakat mengatakan saya ini pemurah, tetapi lelaki ini jauh lebih pemurah berbanding saya!" Lantaran itu, beliau membeli kebun berkenaan dan disedekahkan kepada hamba lelaki tadi, kemudian memerdekakannya.
Dari kisah yang diceritakan di dalam kimya'i- Sa'adah oleh Imam Ghazali ini, memberi jawapan yang jelas kepada kita tentang sifat orang yang sentiasa reda dengan takdir Allah SWT dan menumpahkan sepenuh tawakalnya hanya kepada Allah SWT. Bayangkan kita yang berada ditempat hamba itu tadi, Pendapatan kita hanyalah tiga keping roti. Setelah penat seharian bekerja di tengah terik mentari, tiba-tiba datang seekor anjing yang sudah berjalan jauh dan dalam keadaan tidak bersih dan tidak bermaya. Pasti kita akan menghalau anjing itu sekerasnya dengan apa sahaja benda yang ada di sekitar kita bukan? Kerana pertamanya kita lapar dan letih. Keduanya anjing itu kita anggap sebagai hina. Tetapi tidak bagi lelaki itu, dia reda dengan apa yang sudah tesurat untuknya pada hari tersebut kerana redanya dia kepada takdir Allah SWT, manusia (Abdullah bin Jaafar) menjadi reda kepadanya tersebut. Itulah anugerah kepada sesiapa yang sering reda terhadap takdir Allah SWT.
No comments:
Post a Comment